Kutipan Cukai LHDN Tertinggi Dalam Sejarah, Sebanyak RM183.3 Bilion Dikutip Pada 2023
Pecah rekod wo!
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai sebanyak RM183.3 bilion pada tahun 2023 menunjukkan peningkatan RM7.8 bilion atau 4.49 peratus berbanding tahun sebelumnya
Menerusi laporan Sinar Harian, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata jumlah kutipan cukai itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pembayar cukai yang menyumbang kepada pendapatan negara supaya dapat memastikan pembangunan dan kestabilan Malaysia.
"Saya bagi pihak LHDN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar cukai yang gigih menyumbang kepada hasil negara dan memikul tanggungjawab sebagai pembayar cukai.
"Tidak dinafikan, setiap ringgit yang disumbangkan oleh rakyat kita adalah tidak ternilai dalam memastikan pertumbuhan dan kesejahteraan negara tercinta," katanya.
Image via Kosmo!
Pembayar cukai disaran sertai Program Pendedahan Sukarela Khas (SVDP) 2.0 bagi memastikan pendedahan dikecualikan daripada penalti
Sasaran kutipan cukai LHDN untuk tahun 2024 ditetapkan pada RM197 bilion mewakili pertumbuhan 7.47 peratus daripada jumlah yang dicapai tahun lalu.
Berdasarkan laporan sebelum ini, kutipan cukai oleh LHDN pada 2022 berjumlah RM175 bilion berbanding tahun sebelumnya dengan RM144 bilion.
Mengenai SVDP 2.0, Abu Tariq memberitahu LHDN telah menerima 64,748 kes pengisytiharan sukarela setakat 31 Januari 2024 yang berjumlah RM573.476 juta daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.
Abu Tariq menggesa pembayar cukai untuk mengambil bahagian dalam program itu bagi memastikan semua pendedahan yang diterima di bawah program itu akan dikecualikan daripada dikenakan penalti.
"Ini berbeza dengan SVDP 1.0 yang berjaya mengutip RM7.88 bilion cukai, cukai tambahan dan penalti antara November 2018 dan September 2019.
"Tiada juga audit atau penyiasatan akan dijalankan ke atas pembayar cukai yang mengambil bahagian dalam program untuk tahun taksiran ke hadapan mereka," katanya.
Image via Sebenarnya.MY
Program SVDP 2.0 telah bermula sejak 6 Jun 2023 dan akan berakhir pada 31 Mei tahun ini.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!
Image via SAYS Seismik